SAYA
sedih. Bukanlah saya berharap kerana kesedihan saya akan menarik
simpati sesiapa. Hanya saya ingin menyatakan perasaan saya- perasaan
apabila melihat kaum bangsa saya, orang Melayu, begitu sekali tidak tahu
bersyukur, begitu sekali mudah lupa, begitu sekali mudah dipengaruhi
dan diperalat oleh orang lain sehingga sanggup memburukkan bangsa
sendiri.
Bagi generasi yang dilahirkan selepas merdeka tentulah mereka tidak merasai sendiri kehinaan yang dialami oleh orang Melayu semasa mereka dijajah dahulu. Tetapi takkanlah mereka tidak baca sejarah bangsa mereka.
Jika
mereka sudah lupa, jika mereka tidak dapat memahami pahit maung, pedih
perit bangsa yang dijajah, izinkan saya yang biasa dengan tiga
penjajahan bercerita sedikit berkenaan orang Melayu semasa dijajah.
Rata-rata
mereka miskin, tidak berilmu pengetahuan, tidak memiliki apa-apa
kecekapan, tidak terdaya mempertahan negeri-negeri mereka. Mereka
terpaksa bertuankan orang putih Inggeris yang mereka terima sebagai Tuan
mereka di negeri mereka sendiri. Mereka bukan tuan rumah. Mereka
sebenarnya hamba rumah yang diduduki orang lain.
Orang putih, secara terbuka
menyatakan orang Melayu adalah bodoh dan malas, tidak mampu menyumbang
apa-apa kepada pembangunan negeri-negeri mereka. Mereka hanya layak jadi
pemandu kereta dan orderly atau budak pejabat atau kerani. Mereka
dianggap tidak berkebolehan melaksanakan apa-apa kerja yang
dipertanggungjawab kepada mereka. Orang asing dari India dan Cina perlu
dibawa masuk untuk mengatasi masalah Melayu malas dan tidak cekap.
Datang Jepun. Orang Melayu hilang
jawatan perkeranian dan jawatan-jawatan rendah yang lain. Mereka
terpaksa jadi penjual pisang di tepi jalan - kais pagi makan pagi, kais
petang makan petang.
Jika tidak tunduk serendah
mungkin apabila lalu di hadapan askar Jepun, mereka dipaksa tatang
ketulan batu yang besar sehingga mereka pening dan jatuh. Mereka diarah
panjat pohon kelapa untuk dapat buah kelapa bagi askar Jepun. Jika gagal
mereka ditempeleng dan terbongkok-bongkok meminta maaf daripada askar
Jepun.
Tanpa bertanya sedikitpun akan
pandangan orang Melayu sebagai pemilik negeri-negeri Melayu, Jepun
menghadiahkan empat buah negeri Melayu, iaitu Kedah, Perlis, Kelantan
dan Terengganu kepada Siam, kerana membalas budi Siam.
Di bawah pemerintahan Siam, orang
Melayu diarah supaya menghormati lagu kebangsaan Siam dan bendera Siam.
Saya lihat sendiri seorang orang tua Melayu yang tidak turun basikalnya
semasa lagu kebangsaan Siam dimainkan, ditendang di kepala oleh askar
Siam apabila lagu berhenti dan ia jatuh terlentang di atas jalan. Saya
dan beberapa Melayu lain tidak berani menolong orang tua yang telah
jatuh. Kami bangsa yang dijajah dan boleh ditendang oleh sesiapa yang
menjajah bangsa kami. Jangan siapa tolong.
Kemudian, British kembali dan
raja-raja Melayu diugut akan diturunkan dari takhta mereka jika tidak
tandatangan perjanjian Mac Michael supaya negeri-negeri Melayu diserah
secara langsung kepada British. Dan raja Melayu pun tandatangan dan
diturunkan pangkat kepada kadi besar negeri mereka.
Cadangan Malayan Union British
bertujuan menamatkan negeri-negeri Melayu sebagai Tanah Melayu, milik
orang Melayu. Ia akan jadi milik siapa sahaja yang mendapat taraf rakyat
Malayan Union milik British.
Dalam keadaan orang Melayu begitu
miskin, daif dan tidak berilmu pengetahuan, tidak memiliki apa-apa
kecekapan, tidak mempunyai senjata, tidak tahu berniaga, sudah tentu
mereka akan menjadi kuli dan hamba kepada orang lain yang lebih pintar,
lebih cekap dan lebih kaya daripada mereka. Sudah tentu tidak akan ada
Tanah Melayu, tanah tumpah darahnya orang Melayu. Mereka akan jadi
bangsa yang tidak bernegara, tidak bertanahair. Tidak ada masa depan
bagi mereka.
Alhamdulillah. Di saat itu mereka
tiba-tiba sedar. Berkat beberapa kerat di antara mereka yang terpelajar
yang tahu akan malapetaka yang menanti bangsa mereka, mereka ketepikan
sikap kenegerian mereka dan kesetiaan kepada raja masing-masing atau
kepada keturunan mereka. Mereka bersatu dan bangun menentang rancangan
Malayan Union British. Perpaduan Melayu yang tumpat ini, pendirian
mereka yang tidak berbelah-bahagi berkenaan penolakan Malayan Union
memaksa British gugurkan rancangan mereka dan kembalikan negeri-negeri
Melayu bersama Pulau Pinang dan Melaka yang dimiliki British kepada
orang Melayu. Maka terselamatlah orang Melayu dan negeri mereka.
Malangnya sekembalinya sahaja
Semenanjung Tanah Melayu ke tangan orang Melayu, maka bermulalah rebutan
untuk nikmat yang datang dengan pemerintahan sendiri, khususnya untuk
menjadi ahli dalam dewan-dewan negeri dan dewan undangan Persekutuan.
Keahlian ini menjanjikan pangkat, elaun dan lain-lain kemudahan.
Untuk bekerja sebagai budak
pejabat memerlukan kelulusan tertentu. Tetapi untuk menjadi Yang
Berhormat, menteri, bahkan Perdana Menteri tidak memerlukan apa-apa
sijil atau kelulusan.
Yang kecewa, yang tidak dapat
nikmat yang dikejar lupa akan nikmat perpaduan dan mereka tinggalkan
UMNO untuk tubuh kesatuan mereka sendiri. Dengan ini mereka akan dapat
dicalon oleh parti mereka untuk bertanding dalam pilihan raya yang akan
datang.
Kumpulan pertama yang menubuh
parti serpihan terdiri daripada ulama dalam UMNO yang kecewa kerana
permintaan mereka supaya 10 daripada mereka dicalonkan oleh Tunku Abdul
Rahman ditolak olehnya dan hanya satu sahaja yang diberi kepada kumpulan
ini.
Tetapi Tuhan Maha Kaya. Rata-rata
orang Melayu terus menyokong UMNO yang mana ini memberi kemenangan
kepada UMNO dan rakan-rakannya. Demikianlah besarnya sokongan ini
sehingga British terpaksa serah kuasa kepada Perikatan ciptaan UMNO.
Jika Parti Islam mendapat lebih daripada satu kerusi, nescaya
kemerdekaan tidak tercapai pada 1957.
Tanpa merampas hak orang lain,
pemerintahan yang bertunggak kepada Melayu berjaya membangunkan negara
dan memberi kepada bangsa Melayu dan bumiputera lain pelajaran, latihan
dan peluang yang tidak pernah dinikmati oleh mereka semasa dijajah.
Berkat semua ini maka terpulihlah maruah bangsa Melayu. Alhamdulillah.
Ramalan bahawa pemerintahan yang
dipimpin Melayu ini akan merampas hak dan harta kaum lain tidak menjadi
kenyataan. Sebaliknya pimpinan yang diterajui Melayu berjaya memajukan
negara sehingga dikagumi dunia.
Semua ini terang dan nyata. Dunia
akui kebolehan orang Melayu yang memimpin Malaysia. Tetapi mereka belum
sampai ke tahap bersaing dengan kaum lain terutama dalam bidang
perniagaan dan perusahaan.
Malangnya kejayaan yang sedikit
ini telah menjadikan mereka bongkak dan tamak. Rebutan kuasa antara
mereka terus berlaku dan rebutan yang berpunca kepada ketamakan individu
tertentu menyebabkan perpecahan dan serpihan daripada parti utama
mereka.
Mereka yang kecewa kerana gagal
merebut tempat menghasut ahli-ahli dan pemimpin kerdil untuk menyertai
mereka, untuk menjayakan hasrat sempit mereka merebut kuasa, terutama
untuk menjadi Perdana Menteri. Untuk ini mereka membohong,
menyalahtafsir agama, menyokong orang lain yang tidak suka melihat orang
Melayu meraih walaupun sedikit kekayaan, kedudukan dan nikmat yang
terdapat di negara ini.
Hasilnya ialah perpaduan Melayu
diganti dengan perpecahan. Orang Melayu yang dahulu digeruni oleh
British kerana kukuhnya perpaduan mereka, sekarang berpecah kepada tiga
kumpulan kecil yang terpaksa mengemis untuk mendapat sokongan orang lain
termasuk mereka yang menentang segala usaha untuk mengimbangkan
kedudukan orang Melayu dengan kaum-kaum lain.
Sokongan orang lain ini tidak
diberi secara percuma. Jika mana-mana daripada parti Melayu ini
memenangi pilihan raya dan mendirikan Kerajaan, tak dapat tidak Kerajaan
ini akan terpaksa mengikuti telunjuk orang lain. Melayu tidak lagi akan
menjadi tunggak kepada pemerintahan negara yang mereka rela berkongsi
dengan orang lain. Mereka akan jadi puak minoriti dalam pakatan yang
mereka sertai. Inilah yang akan terjadi hasil perpecahan orang Melayu.
Siapakah yang membawa malapetaka
ini. Tak lain tak bukan malapetaka ini dibawa oleh orang Melayu sendiri -
orang Melayu yang tamak, orang Melayu yang kurang pintar, orang Melayu
yang mudah dipengaruhi nafsu, yang mudah dikuasai oleh perasaan benci
apabila dihasut.
Orang Melayu sudah lupa akan
betapa hinanya mereka semasa dijajah dahulu. Mereka tidak pun mengakui
akan nikmat yang banyak yang dinikmati oleh mereka setelah merdeka dan
mereka menerajui Kerajaan - Kerajaan Malaysia merdeka.
Oleh kerana lupa dan tidak
bersyukur, mereka rela supaya perpaduan yang memberi kekuatan kepada
mereka dimusnahkan. Mereka sanggup dipecah dan dipisah daripada kuasa
yang sedikit yang ada pada mereka.
Sebab inilah yang saya sedih.
Bangsa saya jelas tidak dapat menangani kejayaan. Bangsa saya mudah
lupa. Bangsa saya tidak tahu bersyukur. Bangsa saya tidak tahu mengambil
iktibar daripada nasib yang menimpa kaum sebangsa yang hari ini tinggal
di wilayah yang dikuasai orang lain.
Jangan bersedih dan bersimpati
dengan saya. Bersimpatilah dan bersedihlah dengan diri sendiri, dengan
anak cucu yang akan alami masa depan yang gelap kerana kita tamak dan
begitu benci kepada bangsa dan pemerintahan oleh kita sendiri.
Dr Mahathir Mohamad
23hb September, 2012 – 7 Zulkaedah 1433 H
No comments:
Post a Comment