ISTILAH bahasa rojak bukan istilah ilmu. Istilah ini dicipta mereka yang prihatin akan situasi dan nasib bahasa Melayu. Boleh dikatakan isu ini diperkatakan saban tahun di negara kita memandangkan apa yang disaran dan dicadangkan tentang isu ini tidak pernah membawa apa-apa hasil yang diharap-harapkan.
Terbaru, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menyarankan agar diwujudkan semula Jawatankuasa Penyelaras dan Penyeragaman Bahasa agar memastikan semua stesen media di negara kita menggunakan bahasa yang sama untuk penonton.
Penyeragaman ini sangat penting memandangkan siaran radio dan televisyen mendapat sambutan ramai di kalangan penonton dan pendengar serta sudah semestinya bahasa memainkan peranan sangat besar untuk menyampai maklumat dan pelbagai lagi. Beberapa kertas kerja mengenai bahasa dibentangkan dalam Seminar Bahasa dalam Penyiaran anjuran Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) baru-baru ini yang dihadiri wakil stesen penyiaran tempatan.
Nasib bahasa kebangsaan dianggap membimbangkan ekoran sikap kita yang tidak begitu peka tentang peranan dan masa depan bahasa sendiri.
Stesen penyiaran juga tidak terlepas daripada menghadapi masalah ini kerana ada rancangan membabitkan penyertaan penonton yang kebanyakannya tidak ambil kisah tentang penggunaan bahasa mereka. Penggunaan bahasa rojak yang semakin meluas terutama kiriman ucapan tahniah, selamat pagi dan sebagainya menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) oleh penonton menjadikan kita keliru dengan identiti bahasa kita sendiri.
Maka ramai yang merumuskan bahawa identiti bahasa kita semakin terkikis. Lama-kelamaan bahasa rojak dianggap akan menguasai pertuturan, penulisan dan lebih malang dalam penulisan karangan di sekolah sudah dikatakan ada penggunaan bahasa rojak di kalangan pelajar sehingga menjejaskan markah.
Menurut definisi, bahasa rojak ialah bahasa yang bercampur iaitu antara bahasa ibunda dengan bahasa asing. Bagaimanapun, ramai yang mendefinisikan ia sebagai percampuran antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris.
Apa pun, definisi bahasa rojak dalam konteks perbualan dan penulisan harian di negara kita boleh diperluaskan kepada pelbagai tafsiran. Kita juga boleh menganggap percampuran antara bahasa baku dengan istilah serta penggunaan kata dalam penulisan serta pengucapan lain daripada bahasa baku adalah bahasa rojak.
Perubahan zaman selalunya menempiaskan istilah baru yang diguna pakai dalam pelbagai bidang. Ada yang menganggap sesiapa yang tidak pandai menyesuaikan diri atau tidak boleh menggunakan dan memahami istilah baru terutama dari luar adalah mereka yang ketinggalan zaman.
Kita sebenarnya bukan tidak boleh menggunakan bahasa sendiri. Contohnya, jika kita mengadakan kempen tentang bahasa, Minggu Bahasa atau Bulan Bahasa, sesiapa pun akan berusaha dan bercakap dengan bahasa yang betul dan berusaha menggunakan bahasa sendiri sepenuhnya.
Apabila selesai kempen, bahasa rojak muncul semula dan apa yang dilaung-laungkan atau dipraktikkan semasa kempen lenyap begitu saja.
Bagaimanapun, adalah merugikan masa dan wang jika kita berkempen tentang sesuatu yang sebenarnya menjadi milik kita zaman berzaman dan sesuatu yang dilaung-laungkan itu sebenarnya boleh kita lakukan sendiri tanpa didesak dan dipandu arah oleh sesiapa.
Ironinya, jika kita tahu sampah itu tidak elok, kita tidak akan menyimpan sampah dan membuangnya di merata-rata tempat. Dalam bahasa pun, jika kita tahu ada ‘sampah’, kita tidak boleh menyimpannya tetapi hendaklah dibuang.
Pihak yang memperlekeh atau memandang rendah kepada bahasa Melayu semestinya melihat keupayaan bahasa Melayu bukan hanya di negara kita saja kerana bahasa Melayu dituturkan lebih kurang 300 juta penduduk di dunia. Bagi bangsa Melayu, jika mereka lebih gemar menggunakan bahasa rojak, jelaslah mereka memperlekeh bahasa sendiri. Bagi orang India dan Cina misalnya, apabila mereka lebih gemar berbahasa Inggeris dalam pertuturan, bermakna mereka tidak yakin akan keupayaan bahasa Melayu meskipun di sekolah, mereka mesti belajar dan mendapat kepujian dalam bahasa Melayu.
Orang Indonesia pula memandang kita sebagai masyarakat yang tidak mempunyai pendirian teguh dalam bahasa sendiri. Kerana itulah ada antara mereka yang belajar bercakap Inggeris terlebih dulu sebelum datang ke negara kita kerana bagi mereka, orang kita lebih banyak bercakap Inggeris daripada menggunakan bahasa sendiri.
Media sangat penting membentuk masyarakat tidak kira golongan untuk menangani bahasa rojak. Meskipun tidak boleh dibendung seratus-peratus, tetapi usaha mengawal bagi sesetengah rancangan yang nyata menggunakan bahasa rojak sangat perlu.
Media boleh mensyaratkan hanya SMS yang menggunakan bahasa betul saja dipaparkan untuk khalayak. Media juga mesti mempunyai kata sepakat dalam usaha membanteras penggunaan bahasa rojak supaya tidak timbul kekeliruan masyarakat. Orang ramai, tidak kira sama ada golongan elit, masyarakat pertengahan atau bawahan yang terlibat dalam rancangan televisyen terutama ketika diwawancara untuk siaran televisyen mesti berusaha menggunakan bahasa yang betul.
Media juga perlu merujuk Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menentukan penggunaan bahasa yang betul sebelum diketengahkan kepada umum. Dengan cara ini keseragaman dapat diwujudkan, imej bahasa dapat dipertingkat dan kekeliruan dapat dielakkan. Penulis seorang guru.
Sumber: myMetro
No comments:
Post a Comment